
KEBANYAKAN nasi beriani yang dijual di kedai-kedai di sini, atau yang dihidangkan di majlis-majlis perkahwinan, adalah nasi beriani biasa atau beriani dam. Ia sudah terlalu sering anda nikmati.
Kini, anda berpeluang memasak sendiri pelbagai jenis beriani, dengan mengikuti satu kursus masak Cooking Mantra di Arab Street.
Dalam kursus yang dikendalikan oleh Encik Aneel Sharma atau lebih dikenali sebagai Cef Sharma, pemilik sekolah masak itu, anda akan diajar memasak pelbagai jenis beriani yang mungkin anda belum pernah rasakan sebelumnya.
Ini termasuk beriani Hyderabad, beriani Moghul, beriani Sindhi dan beriani Bombay.
Cef Sharma, 44 tahun, bersama isterinya, Cik Ranu Sharma, membuka sekolah masak itu sekitar lapan bulan lalu.
Kedua-duanya adalah guru memasak yang berdaftar dengan Persatuan Rakyat. Mereka kerap mengadakan demonstrasi memasak di sekolahsekolah dan kelab masyarakat.
Dengan 20 tahun pengalaman dalam bidang kulinari, Cef Sharma telah membuka sekolah memasaknya sendiri secara kecil-kecilan dengan me- ngajar mengikut keperluan pesertanya.
Walaupun beliau telah bergaul dengan orang Melayu/Islam sejak kecil lagi ketika tinggal di daerah kampung Kembangan dan faham benar erti perkataan halal, beliau tetap menghadiri kursus pegawai halal (Halal Officers Course) yang dianjurkan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) untuk mengetahui secara mendalam cara-cara menyediakan bahan dan masakan untuk orang Islam.
Cooking Mantra terkenal dengan keistimewaan makanan dan manisan tradisional India Utara dan India Selatan.
Kelas masakan India dikendalikan oleh Cik Ranu, seorang vegetarian sementara Cef Sharma menumpukan perhatian kepada masakan tempatan seperti masakan Cina, Melayu, Barat dan masakan Asia.
Sebagai seorang tukang masak yang kreatif, Cef Sharma gemar mencipta masakan baru dengan menggabungkan satu jenis masakan dengan yang lain.
Semasa ditemui baru-baru ini, Cef Sharma sudah pun menyiapkan masakan nasi beriani laksa dan mahu berkongsi resipi beliau dengan pembaca Berita Minggu.
Satu tip yang beliau berikan ialah, walau apa pun jenis beriani yang hendak anda masak, gunakan beras basmati sahaja kerana beras jenis lain kurang menyerap rempah-ratus yang digunakan.
Itu bermakna, hanya beras basmati saja yang enak untuk masakan beriani.
Sekolah masak Cooking Mantra boleh menampung 18 orang peserta dalam satu masa.
Bagaimanapun, Cef Sharma sedia mengadakan kelas khas jika ada sekurang-kurangnya enam peserta.
Konsep kelas memasak ini menyerupai bilik darjah. Ini kerana cara memasak yang diajar ialah cara demonstrasi, kecuali resipi seperti roti naan, prata dan tose yang diajar dengan cara hands-on.
Harga yang dikenakan untuk kelas memasak itu bergantung kepada resipi yang diajar iaitu antara $45 dengan $50 untuk satu sesi (dua jam setengah) yang terdiri daripada empat atau lima jenis masakan.
Kelas terbaharu yang diadakan ialah kelas memasak menggunakan ikan Red Drum, sejenis ikan organik yang ditaja oleh sebuah syarikat tempatan.
Antara masakan yang beliau cipta menggunakan ikan ini ialah ikan bakar tahini, sasyimi stail Thai, ikan karamel Vietnam dan ikan salai perasa teh.
Peserta berpeluang mencuba masakan yang diajar di penghujung sesi dan selebihnya boleh dibawa pulang.
Untuk keterangan lanjut mengenai kelas anjuran Cooking Mantra, anda boleh hubungi Cef Sharma di telefon 9023-6942/6764-1654 atau melalui e-mel: enquiries@cookingmantra.sg.
BERIANI LAKSA
Bahan-bahannya:
500 gram beras basmati direndam selama 20 minit kemudian tuskan
4 sudu makan minyak masak
Bahan kisar:
5 biji bawang kecil
1 biji bawang besar
1 batang serai
1 sentimeter lengkuas
6 biji buah keras
2 sudu makan pes cili
2 sudu teh biji ketumbar disangai
1 sudu teh jintan halus disangai
2 biji bawang putih
2 sudu makan udang kering
1 sudu teh belacan
½ sudu teh serbuk kunyit
Bahan-bahan lain:
2 sudu teh serbuk pati ayam
10 ekor udang dibersihkan, jangan dibuang kulitnya
2 ekor sotong dibersihkan dan dipotong bulat
1 keping fish cake dihiris
150 gram isi ikan dipotong kiub besar
200 ml santan
½ cawan daun kesum dicencang
3 keping tauhu kering (tau pok) dipotong kiub
Garam dan sedikit gula
Cara:
1. Panaskan minyak dan goreng udang, sotong, fish cake dan isi ikan berasingan selama satu minit. Ketepikan.
2. Dengan menggunakan minyak yang sama, goreng bahan-bahan kisar sehingga garing dan pekat kemudian masukkan tauhu kering.
3. Masukkan beras dan gaul selama dua minit sehingga sebati dengan rempah. Tuangkan air (1½ kali jumlah beras), santan, setengah bahagian daun kesum, garam, serbuk pati ayam dan sedikit gula. Masak sehingga air hampir kering baru masukkan makanan laut yang telah digoreng.
4. Gaul sehingga rata kemudian tutup periuk dan tanak nasi dengan api kecil selama 20 minit.
5. Hidangkan dengan ditabur sebahagian lagi daun kesum.



No comments:
Post a Comment