I made this widget at MyFlashFetish.com.

Friday, October 29, 2010

YANG MANA SATU ? ? POLITIK WANG ATAU RASUAH POLITIK

Politik wang, bunyinya lembut dan tidak menjijikkan – itu kata Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak. Lalu beliau mahu istilah yang lebih keras, lebih mengaibkan dan menjijikkan diperkenalkan iaitu “Rasuah Politik” .

Perkataan rasuah menggambarkan perbuatan yang menyalahi undang-undang dan ajaran agama. Bunyinya lebih kotor, lebih jijik dan tentunya tidak sedap didengar. Apa lagi kalau dilabel atau dikaitkan dengannya.

Najib berpendapat, istilah yang lebih keras dan meloyakan itu mungkin boleh membantu mengurangkan amalan politik wang. Namun para pemerhati di dalam dan luar Umno kurang bersetuju dengan pendapat Najib itu. Bagi mereka gejala politik wang tiada kena mengena langsung dengan istilah.

Amalan atau sikap kotor itu sebenarnya berkait rapat dengan etika dan sikap seseorang ahli politik itu. Kalau mereka masuk politik terutamanya parti Umno kerana kepentingan diri sendiri, maka politik wang atau rasuah politik tetap akan menjadi amalannya.

Kalau masuk Umno kerana mahu tanah, konsesi balak, permit AP, saham, lesen kontraktor kelas F, pangkat dan kedudukan, kumpulkan dan ciptalah pelbagai istilah yang kotor dan menakutkan, ia tetap tidak dapat menangani gejala tersebut.

Sedangkan undang-undang anti-rasuah yang ada dalam negara dan tindakan disiplin anti-politik wang yang diperkenalkan oleh Umno pun tidak ditakuti oleh ahli-ahlinya, inikan pula sekadar satu istilah!

Oleh itu, tidak perlulah membuang masa untuk mencipta istilah baru. Cadangan Najib itu tidak perlu dipanjangkan ke mesyuarat cawangan, bahagian atau Majlis Tertinggi. Lebih baik difikirkan cara lain yang lebih berkesan untuk menangani politik wang atau rasuah politik.

Pendekatan tegas

Sebenarnya bukan istilah yang perlu ditukar tetapi pendekatan Umno dalam menangani masalah itu perlu diubah. Tindakan keras patut dikenakan terhadap pengamalnya tanpa memilih bulu. Kalau Lembaga disiplin dan peraturan parti gagal membendungnya, mungkin polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) wajar dijemput membantu.

Pendekatan tegas menerusi undang-undang rasanya lebih berkesan daripada istilah yang lebih keras atau menjijikkan. Tidak dinafikan Umno telah mengambil beberapa langkah bagi membasmi masalah ini. Pelbagai peraturan dan etika pemilihan telah dilaksanakan dan ramai pemimpin di bahagian dan peringkat nasional telah dikenakan hukuman.

Ada yang kena surat tunjuk sebab, diberi amaran keras dan tidak kurang juga yang digantung keahlian untuk beberapa tahun. Tetapi gejala itu tetap berleluasa. Bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad sampai menangis merayu kepada ahli-ahli Umno supaya meninggalkan amalan buruk itu.

Kini giliran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) dan Najib pula pening kepala memikirkan amalan lama yang sentiasa subur itu. Amalan yang berkait rapat dengan nafsu dan sifat tamak haloba ini memang mustahil untuk dibendung. Lakukanlah apa sahaja dan ciptalah apa istilah sekalipun, ia akan tetap wujud selagi manusia bergelar manusia.

Namun, ini tidak bererti ia boleh dibiarkan begitu sahaja hingga mereputkan parti dan kerajaan. Cadangan Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahukan pemilihan ahli Majlis Tertinggi dilakukan di peringkat bahagian mungkin satu idea yang wajar dipertimbangkan.

Dari segi idelismenya, cadangan itu nampak bagus dan cantik. Ia memberi peluang kepada -ahli akar umbi untuk mengundi dan menentukan pucuk pimpinan parti. Ia akan melibatkan bilangan ahli yang lebih besar. Dipercayai, apabila melibatkan ramai ahli atau banyak pihak, amalan politik wang atau membeli undi agak sukar dilakukan.

Beban dan risiko untuk merasuah perwakilan yang beratus-ratus orang di setiap bahagian tentulah lebih besar jika dibandingkan dengan kos “membeli” kira-kira 2,000 perwakilan yang pergi ke perhimpunan agung.

Pemilihan di bahagian

Cadangan Muhyiddin itu bernas tetapi dari segi praktikalnya mungkin menimbulkan pelbagai masalah dan kerenah. Ia akan menimbulkan masalah besar kepada ibu pejabat kerana terpaksa turun padang ke seluruh bahagian Umno bagi memantau proses pemilihan MT.

Masalah lain seperti logistik, ketelusan dan disiplin calon serta pengundi, juga akan timbul hingga boleh menjejaskan proses pemilihan peringkat lebih tinggi. Memberi hak kepada ahli di bahagian memilih pembuat dasar parti adalah suatu yang adil dan lebih demokratik. Tetapi ia dibimbangi akan menjejaskan keberkesanan perjalanan dan pengurusan parti.

Oleh itu, amalan menyerahkan kuasa kepada perwakilan di perhimpunan agung untuk menentukan siapa yang akan menerajui parti – seperti yang diamalkan oleh semua parti politik utama di negara ini – sekarang masih merupakan suatu yang paling baik dan praktikal.

Cuma pucuk pimpinan Umno perlu memikirkan bagaimana untuk membendung para perwakilan daripada “menjual” undi mereka. Cara untuk menghalang para calon “membeli “ undi, juga perlu dirangka kerana kalau tiada yang sudi membeli, maka tiada siapa boleh menjual.

Ini adalah satu cabaran besar. Undang-undang atau tindakan disiplin tidak mampu menanganinya. Pak Lah perlu memikirkan cara untuk mentarbiah ahli dan pemimpin Umno supaya menjauhi amalan jijik itu.

Penciptaan istilah yang keras dan kotor tidak akan membersihkan Umno daripada rasuah politik jika ahli-ahlinya tetap menganggap rasuah bukan suatu yang kotor dan haram. Apabila rasuah dianggap sebagai sebahagian daripada cara hidup atau strategi politik atau teknik berurusniaga, maka ia tidak mungkin boleh dibasmi!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...